SIMONA gagal saingi Dominika pada pusingan kedua Terbuka Wuhan. - Foto EPA
AFP

WUHAN, China: Pemain nombor satu dunia Simona Halep berdepan kekalahan mengaibkan pada hari penuh kejutan di Terbuka Wuhan semalam apabila pemain Romania itu tersingkir dalam dua set di tangan Dominika Cibulkova.

Penonton yang menyaksikan perlawanan lewat malam itu tergamam apabila Simona yang kehilangan arah gagal menang satu game menentang pemain Slovakia itu pada set pertama.

Juara Terbuka Perancis itu mengalami cedera belakang ketika sesi latihan Ahad lalu dan gagal pulih sepenuhnya bagi aksi pembukaan di Wuhan menentang pemain ranking ke-31, Dominika sekalipun sempat berehat dua hari.

“Sukar pada awalnya untuk bermain... (tapi) saya tidak mahu menarik diri dan hanya berusaha bermain dengan lebih baik dan baik lagi,” kata Simona.

SIMONA menerima rawatan di tepi gelanggang ketika perlawanan. - Foto EPA

Di sebalik kecederaan itu dan memerlukan rawatan beberapa kali ketika perlawanan, dia bangkit melawan pada set kedua, mematahkan servis Dominika tiga kali sebelum akhirnya tumbang 5-7.

“Saya hampir melakukannya pada set kedua, jadi perlawanan ini memberikan saya keyakinan bahawa tahap saya masih bagus,” kata pilihan utama itu, yang menerima tepukan gemuruh setiap kali dia kembali selepas rawatan untuk menyambung permainan.

Simona, beraksi perlawanan pertamanya sejak tumpas awal pada Terbuka AS bulan lalu, menegaskan dia menjangka akan pulih daripada kecederaan belakang “dalam beberapa hari.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 1:33 PM