PEMANDU dari Itali, Antonio Giovinazzi. FOTO Agensi
Reuters

ZURICH: Sauber menaikkan pangkat Antonio Giovinazzi dari Itali sebagai pemandu kedua mereka untuk musim 2019 di samping bekas juara dunia Kimi Raikkonen, menurut jurucakap pasukan hari ini.

Giovinazzi yang sebelum ini pemandu simpanan pasukan melakukan penampilan pertama Formula Satu tahun lalu dan beraksi dalam dua perlumbaan sebagai pengganti kepada Pascal Wehrlein yang mengalami kecederaan.

"Saya sangat teruja menyertai pasukan Alfa Romeo Sauber F1. Ia mimpi jadi nyata dan berbesar hati mempunyai peluang berlumba untuk pasukan ini,” kata Giovinazzi.

Pelumba berusia 24 tahun itu bersaing mendapatkan tempat dalam pasukan bersama pemandu Sauber sekarang Marcus Ericsson. Ericsson akan kekal bersama Sauber tetapi sebagai pemandu ketiga dan dilantik menjadi duta jenama.

"Sebagai rakyat Itali adalah satu penghormatan untuk mewakili jenama yang menjadi ikon seperti Alfa Romeo dalam sukan kami. Saya sangat bermotivasi dan tak sabar bekerja bagi mencapai kejayaan hebat bersama pasukan,” katanya. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 9:53 PM