WEHRLEIN (kanan) ketika beraksi pada GP Malaysia di Sepang tahun lalu. -Foto fail
Agensi

SOCHI, Russia: Toto Wolff menantikan kehadiran semula Pascal Wehrlein jika berpeluang kembali ke saingan Formula Satu pada masa depan selepas pemandu Jerman itu sah disingkirkan daripada program Mercedes hujung musim ini.

Wehrlein mula beraksi di F1 pada 2016 sebagai sebahagian daripada pelumba program remaja Mercedes selepas memenangi saingan DTM tahun sebelumnya tetapi kini dia tidak dapat beraksi selepas digantikan oleh Charles Leclerc di Sauber.

Gagal untuk mendapat tempat di saingan F1, Wehrlein kembali ke DTM musim ini tetapi kontraknya akan tamat bersama Mercedes hujung tahun ini menerusi persetujuan bersama.

Mercedes turut mempunyai pemandu remaja, Esteban Ocon dan George Russell sekali gus mendorong Wolff untuk memikirkan masa depan program itu.

“Banyak sebab mengapa kami memulakan program remaja.

“Salah satu daripadanya kami mahu membantu pemandu berbakat dan Mercedes sentiasa membantu Wehrlein sejak awal kariernya.

“Saya bertemu dengannya ketika dia berusia 16 tahun dan banyak yang kami lalui bersama daripada perlumbaan di ADAC, F3 dan kemudian DTM.

“Perkara sama berlaku kepada George Russell dan Esteban Ocon tapi kini kami sudah berada pada tahap tidak mempunyai pasukan remaja. Jika anda tidak mempunyai tempat untuk meletakkan mereka, maka anda perlu memikirkan untuk mengurangkan jumlah pemandu dan melepaskan mereka atau mengubah strategi.

“Kami berada dalam dilema ketika ini. Kami akan melihat perancangan untuk Russell dan Ocon dan kemudian memutuskan apakah langkah seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 12:06 PM