PEMAIN Perak gigih berlatih pada aksi menentang PKNS. FOTO/FAIL
Azizan Hashim 
sukanteam@nstp.com.my

 

PERAK bertekad menghapuskan badi kekalahan dengan PKNS FC apabila turun melayan skuad Semut Merah pada pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Perak, malam esok.

Apa tidaknya, berdasarkan rekod pertemuan musim ini, ia jelas memihak PKNS FC apabila anak buah Datuk K Rajagobal tidak pernah tewas dalam empat pertemuan menentang skuad The Bos Gaurus apabila melakar tiga kemenangan dan satu seri dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

Lebih malang, PKNS FC pernah mengecewakan Perak yang mahu dinobatkan sebagai naib juara Liga Super lebih awal apabila mudah menewaskan The Bos Gaurus 4-1 di Stadium Shah Alam.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga menyingkirkan Perak di peringkat suku akhir Piala FA melalui agregat 4-3.

Justeru pengendali Perak, Mehmet Durakovic sudah membuat persiapan rapi bagi menghapuskan badi kekalahan kepada lawan itu. 

“PKNS pasukan yang sangat bagus dan prestasi pemain mereka hebat. Mereka memiliki pemain tempatan yang sangat baik dan berpengalaman.

“Saya jangkakan perlawanan sengit, namun jika pemain beraksi dengan corak permainan ditampilkan sebelum ini, kami mampu memberi tentangan kepada mereka sekali gus melakar kemenangan pertama ke atas mereka musim ini,” katanya.

Begitupun, Durakovic tidak menyembunyikan keresahan kerana kemungkinan turun tanpa kapten Mohd Nasir Basharuddin yang cedera. 

"Agak malang kami mungkin tidak dapat menurunkan Nasir untuk perlawanan ini. Tetapi perjuangan tetap diteruskan dan saya berharap siapa yang mengambil alih tempatnya mampu melaksanakan tugas dengan berkesan," katanya. 

Jurulatih kelahiran Australia itu juga berharap anak buahnya bersedia untuk melaksanakan misi meneruskan kemaraan ke final Piala Malaysia kali ini sekali gus menamatkan kemarau 18 tahun tanpa trofi berprestij itu. 

"Tempoh 18 tahun jelas sangat lama. Sudah tentu kami mahu mengakhirinya kali ini," ujarnya. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 3:51 PM