NEYMAR (kanan) cetus kebangkitan PSG untuk benam Rennes. -Foto AFP
AFP

PARIS: Beraksi di luar kebiasaan sebagai perancang, Neymar mencetus inspirasi buat Paris Saint-Germain (PSG) yang bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Rennes 3-1 dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membantu juara Perancis itu melupakan kekalahan mengecewakan kepada Liverpool dalam kempen Liga Juara-Juara, minggu lalu.

Pada aksi di gelanggang Rennes, tuan rumah mendahului permainan pada minit ke-11 apabila pemain tengah PSG Adrien Rabiot tertampan bola ke gawangnya sendiri yang dikawal Gianluigi Buffon berpunca daripada sepakan sudut.

Begitupun, gol daripada Angel Di Maria, Thomas Meunier dan Eric Maxim Choupo-Moting membantu pelawat mengekalkan rekod sempurna selepas merakam kemenangan keenam berturut-turut dalam kempen Ligue 1 setakat ini.

Kejayaan itu turut menyaksikan bintang Brazil, Neymar memuji pengurusnya, Thomas Tuchel, 45, yang tiba di PSG musim ini bagi menggantikan Unai Emery.

“Kami bermain dengan baik, beliau adalah jurulatih yang muda dan kami gemar cara dia membina pasukan dan cara latihannya,” kata bintang Brazil itu.

“Kami menghargai cara dia berkomunikasi dengan pemain dan kami berharap sumbangannya membantu kami untuk mencapai perkara lebih besar pada musim ini.”

Kekalahan 2-3 kepada Liverpool di Anfield, minggu lalu mencetus kritikan yang mengatakan PSG terlebih belanja di posisi menyerang sambil melupakan bahagian tengah.

Dengan ketiadaan penyerang sensasi Kylian Mbappe yang terpaksa melupakan permainan susulan penggantungan, Di Maria dan pemain sayap Jerman, Julian Draxler diberikan peluang untuk mengisi kesebelasan utama manakala Neymar mengambil tugas di posisi lebih belakang bagi membantu Edindson Cavani.

Ketika beberapa peluang gagal disempurnakan Cavani termasuk gol yang dibatalkan susulan ofsaid, Neymar membuktikan kemampuannya apabila mencetus gerakan terhadap gol Meunier dan Choupo-Moting.

“Kami melakukan perkara yang baik untuk kembali ke dalam permainan,” kata Tuchel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 8:27 AM