MAURIZIO SARRI
AFP

LONDON: Maurizio Sarri ketawa sambil menolak pendapat yang mengatakan pertembungan Chelsea dan Liverpool, Sabtu ini sebagai aksi ‘perlu menang’ selepas rekod 100 peratus skuad kendaliannya dalam kempen Liga Perdana Inggeris dirobek West Ham, semalam.

Chelsea yang sudah mengharungi lima kemenangan dalam kempen liga sebelum pertemuan dengan West Ham bersaing sengit dengan Liverpool bagi menghuni tangga teratas tetapi keputusan seri 0-0 di Stadium London mencalar rekod mereka. 

Liverpool yang beraksi sehari lebih awal mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Southampton untuk merekod aksi sempurna selepas enam perlawanan.

Pada aksi di laman West Ham itu, Chelsea menguasai lebih 72 peratus penguasaan bola tetapi gagal untuk merobek gawang lawan yang tampil dengan corak bertahan.

Sarri berkata West Ham yang menewaskan Everton minggu lalu selepas kalah empat perlawanan awal berturut-turut sebagai lawan yang sukar dan menambah pemainnya perlu mencari ruang untuk menggerakkan bola dengan lebih pantas.

Mengulas pertembungan dengan The Reds di Stamford Bridge, Sabtu ini, Sarri yang baharu mengendalikan The Blues musim ini berkata sukar untuknya mencabar kelab yang sudah tiga tahun di bawah kendalian Jurgen Klopp.

“Mereka berada satu tahap di hadapan kami ketika ini,” kata Sarri. “Kami perlu memulakan semula kerja yang kami lakukan 35, 40 hari lalu.

“Jadi bagi kami saya fikir ia sedikit awal. Kami perlu terus berusaha. Kami perlu meningkat dan mungkin dalam tempoh setahun kami akan berada pada tahap yang sama dengan Liverpool.”

Ironinya, sebelum menanti kunjungan Liverpool di Stamford Bridge, Chelsea perlu berkunjung ke Anfield terlebih dulu, Khamis ini bagi aksi Piala Liga dengan Sarri berkata dia masih tidak pasti berapa banyak perubahan yang akan dilakukannya pada pertemuan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 8:07 AM