ATLET Terengganu berarak ke dalam Stadium Perak pada Upacara Penutupan SUKMA Perak 2018. FOTO/ABDULLAH YUSOF
Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosly
sukanteam@nstp.com.my


KONTINJEN Terengganu yang membariskan 555 atlet muncul juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak ke-19 kali ini.

Terengganu yang diketuai Chef de Misson, Samiun Salleh itu mengumpul 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Wilayah Persekutuan menamatkan saingan di kedudukan naib juara meraih 52 emas, 38 perak dan 50 gangsa manakala juara dua tahun lalu Selangor berada di tempat ketiga dengan 47 emas, 68 perak dan 67 gangsa. 

Samiun berkata, kejayaan Terengganu yang muncul juara buat kali kelima itu adalah hasil usaha keras yang bermula selepas tamatnya SUKMA Sarawak dua tahun lalu. 

Katanya, biarpun ia adalah proses yang memakan masa namun hasilnya dapat dilihat di SUKMA kali ini dengan beberapa kejayaan membanggakan barisan atlet Terengganu terutama dalam acara pelayaran, wushu dan renang yang sebelum ini dilihat jauh ketinggalan. 

"Kesungguhan pengurusan dan atlet dalam setiap acara disertai bagi memastikan Terengganu berjaya mencapai sasaran.

"Kami akan memastikan usaha berterusan dilakukan agar atlet Terengganu terus ke depan pada temasya 2020 nanti," katanya. 

Antara atlet Terengganu yang paling menyerlah adalah Nur Aisyah Mohamad Zubir yang meraih tujuh emas dalam acara berbasikal pada penampilan terakhirnya di SUKMA.

Manakala tiga atlet Terengganu tersenarai sebagai pemegang rekod baru SUKMA.

Mereka adalah Azreen Nabila Alias dalam acara pecut 100m wanita dengan catatan 11.81s memadamkan rekod Siti Fatima Mohamad di SUKMA 2008 (11.82s).

Atlet angkat berat, Muhamad Darul Najmi Dollah dalam acara 69kg clean and jerk lelaki dengan bebanan 164kg memadamkan rekod Hafifi Mnasor (163kg).

Manakala atlet menembak Muhammad Qamarul Naim Abu Aziz merekodkan 541 mata dalam acara 50m pistol lelaki memadamkan rekod bersama Jasmi Mohamad Zin dan Muhamad Muthaihir (540 mata).  

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 10:18 PM