PEMAIN Manchester United, Romelu Lukaku (dua dari kanan) diasak dua pemain Young Boys. FOTO AFP
AFP

MANCHESTER: Romelu Lukaku melihat tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United akan datang sebagai peluang terbaik untuk menonjolkan kemampuannya bergelar peledak terbanyak liga musim ini.

Kunjungan Wolves ke Old Trafford, esok, diikuti pertembungan dengan West Ham di gelanggang lawan serta aksi menentang Newcastle United boleh menjadikan penyerang Belgium itu pendahulu bagi anugerah Kasut Emas.

Lukaku ketika ini sudah mengumpul empat gol dalam EPL, ketinggalan satu gol di belakang rakan senegaranya dari Chelsea, Eden Hazard sekali pun permulaannya nampak tidak begitu baik.

Penyerang bertubuh sasa itu menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir United ketika menewaskan Burnley 2-0 dan kemenangan 2-1 ke atas Watford, minggu lalu.

Begitupun, dia berdepan tuduhan apabila dilabel "pembuli" berikutan rekod mengecewakannya ketika berdepan enam kelab utama di EPL.

Daripada 20 gol yang dijaringkan Lukaku sejak tiba di United dari Everton pada Julai 2017, hanya satu daripadanya datang pada perlawanan yang membabitkan pasukan enam terbaik musim lalu iaitu ketika Chelsea tewas di Old Trafford, Februari lalu. 

Justeru, pertembungan dengan kelab di kedudukan liga lebih rendah memberinya peluang menambah jumlah gol.

Ia turut dibantu dengan ketumpulan penyerang Liverpool, Mohamed Salah dan peledak Tottenham, Harry Kane yang masih belum mencapai tahap seperti musim lalu dengan penyerang Manchester City, Sergio Aguero pula sering digilirkan dengan Gabriel Jesus. 

"Sentiasa bersaing dengan Aguero dan Kane, dan Salah pada tahun ini. Sentiasa berfikir mengenainya (Kasut Emas)... menjadi penyerang," kata Lukaku.

"Tetapi kemudian, apabila saya mahu menjaringkan gol sebanyak yang saya mahu, saya juga mahu menjuarai kejuaraan. Itulah sebab kenapa saya menandatangani untuk United."

Musim lalu, Lukaku menduduki tangga keenam penjaring terbanyak EPL dengan 16 gol, kurang separuh daripada yang dimiliki Salah untuk anugerah Kasut Emas.

Begitupun, ada yang mengatakan ia disebabkan dia masih sedang menyesuaikan diri dengan suasana di United tetapi prestasinya ketika bertemu Watford mendapat pujian Mourinho.

Begitupun, pujian Mourinho bukan disebabkan oleh jaringannya, tetapi atas usahanya yang berlari hampir setengah padang bagi membantu bahagian pertahanan mengelak gawang mereka daripada dibolosi.

Menurut Mourinho, ia mewakili semangat pasukan itu yang ketika ini sudah mencatat tiga kemenangan berturut-turut buat kali pertama sejak April lalu. 

Kemenangan ke atas Watford diikuti kemenangan 3-0 ke atas Young Boys dalam kempen Liga Juara-Juara, semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 9:07 AM