PEMAIN Real Madrid, Isco meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika membenam Roma 3-0 di Stadium Santiago Bernabeu. FOTO EPA
AFP

MADRID: Gareth Bale terus mencetak nama selaku penjaring untuk Real Madrid - sekali gus melenyapkan kebimbangan selepas pemergian Cristiano Ronaldo dan Zinedine Zidane.

Real memulakan kempen Liga Juara-Juara musim ini dengan menewaskan AS Roma, 3-0 bagi memulakan misi mempertahanan gelaran buat kali keempat berturut-turut.

Isco membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma sebelum tamat babak pertama di Santiago Bernabeu, sebelum Bale menambah gol kedua.

Kemudian, pemain baharu, Mariano Diaz melengkapkan kemenangan bergaya Real Madrid dalam aksi pembukaan Kumpulan G.

“Saya fikir persembahan kami sangat bagus malam ini, apa yang mengecewakan kami adalah kami tidak menjaringkan banyak gol,” kata Bale yang meledak empat gol dalam lima perlawanan setakat ini.

“Real Madrid akan tetap menjadi Real Madrid tidak kira siapa yang pergi. Kami akan terus berusaha mendapatkan kemenangan, akan berusaha mendapatkan gol.”

Julen Lopetegui menyenaraikan 10 daripada 11 pemain dalam kesebelasan utama ketika menang 3-1 ke atas Liverpool pada final musim lalu dengan Bale, wira yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu selepas masuk sebagai pemain gantian, mengambil tempat Ronaldo dalam perlawanan pagi tadi.

Keylor Navas diberi kepercayaan beraksi menjaga gawang dan bukannya pemain baharu, Thibaut Courtois manakala jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco menyenaraikan pemain tengah berusia 19 tahun, Nicolo Zaniolo dalam skuad senior buat kali pertama.

Roma yang beraksi di separuh akhir musim lalu merasai tekanan di awal permainan apabila Bale menguji penjaga gol, Robin Olsen menerusi rembatan deras di minit ke-5.

Pemain antarabangsa Sweden, Olsen yang menggantikan Alisson yang berpindah ke Liverpool kemudian menafikan percubaan Isco selepas mendapat umpanan pemain terbaik UEFA, Luka Modric.

Dani Carvajal pula terlepas peluang terbaik apabila tandukannya tersasar meskipun tidak dikawal, manakala Olsen sekali lagi cemerlang mengeluarkan bola percubaan Sergio Ramos daripada gerakan sepakan sudut.

Bagaimanapun gawang Roma akhirnya bocor selepas pemain tengah Sepanyol, Isco melakukan sepakan percuma menarik melepasi benteng untuk meletakkan Real di depan.

Pemain sayap Turki, Cengiz Under hampir menyamakan kedudukan pada awal babak kedua menerusi larian solo bagaimanapun rembatannya berjaya dihalang Navas.

Percubaan Bale sekadar singgah di palang gol, namun pemain antarabangsa Wales itu kemudian menebus kekecewaan dengan menggandakan jaringan Real menerusi rembatan di minit ke-58.

Mariano yang memakai jersi nombor tujuh yang ditinggalkan Ronaldo melengkapkan kemenangan pasukan tuan rumah dengan menghasilkan gol pada masa kecederaan dalam perlawanan pertamanya sejak menyertai Real dari Lyon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 8:42 AM