PENYERANG Real Madrid, Gareth Bale. FOTO AFP
AFP

MADRID: Jika sebaliknya berlaku pada musim panas lalu, Gareth Bale mungkin berada dalam kapal terbang ke Switzerland semalam, beraksi untuk Manchester United berdepan Young Boys.

Tidak mustahil dia juga mungkin sudah bersiap sedia membuat penampilan Liga Juara-Juara di Arena Allianz bagi pertemuan Bayern Munich menentang Ajax.

Ataupun seperti yang diimpikan penyokong Tottenham untuk melihat kepulangannya semula di London sekali gus membantu pasukan menghadapi Inter Milan di San Siro.

Apa pun, senario itu berpunca daripada keberaniannya mengeluarkan kenyataan ingin menimbangkan masa depannya semula selepas masuk dari bangku simpanan untuk meledak gol lipatan gunting menarik pada aksi final Liga Juara-Juara berdepan Liverpool, Mei lalu.

“Saya perlu bermain setiap minggu,” kata Bale yang beberapa kali berdepan krisis perang dingin dengan pengendali sebelum ini, Zinedine Zidane.

Zidane begitupun meletakkan jawatannya hanya seminggu selepas Real menjulang Liga Juara-Juara dengan mesej itu terlebih dulu disampaikan kepada beberapa pemain senior tatkala Bale hanya mengetahui berita itu menerusi mesej rasmi kelab.

Enam minggu kemudian, Cristiano Ronaldo turut meninggalkan Los Blancos sekali gus menyaksikan Bale terus mengubah fikirannya untuk kekal.

Walaupun tidak sebulu, kedua-dua pemain itu saling menghormati dan ia terbukti apabila sebaik Ronaldo berpindah ke Juventus, Bale pantas menghantar Twitter: “Ia satu penghormatan untuk beraksi di sisi anda,” tulisnya.

Muka depan akhbar Madrid, AS, Jumaat lalu memaparkan: “Lima tahun Bale di sini, dengan: ‘13 gelaran, 193 perlawanan, 91 gol, 60 umpanan gol, 19 kecederaan, 393 hari terkeluar’.”

Bagaimanapun, Bale kini berpeluang membuktikan keputusan Real untuk satu ketika menjadikannya pemain termahal dunia sebagai tepat bermula dengan pertemuan besar berdepa AS Roma, awal pagi Khamis ini selepas pasukan dilihat lebih seimbang dan bersatu dengan ketiadaan Ronaldo.

“Apabila seseorang seperti Ronaldo meninggalkan pasukan pastinya fokus kini terarah kepada siapa yang menjadi penggantinya,” kata pengendali Wales, Ryan Giggs, bulan ini.

“Setakat ini Gareth sudah menunjukkan dia mempunyai kualiti untuk menangani tekanan dalam perlawanan besar.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 12:45 PM