PEMAIN JDT, Muhammad Safawi Rasid (kanan) merembat bola ke gawang MIFA. FOTO/ASWADI ALIAS
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my


JURULATIH MIFA K Devan percaya kelab itu tidak akan berkubur meskipun perjuangan mereka musim ini berakhir selepas tersingkir awal dalam saingan Piala Malaysia.

Hajat MIFA untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia lebur apabila kalah 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terakhir Kumpulan C manakala satu lagi slot diisi Kelantan yang menundukkan Kedah 2-0 malam tadi.

Ia keputusan yang amat mengecewakan apabila mereka hanya selangkah untuk mencipta sejarah tersendiri dalam kempen Piala Malaysia selepas gagal merebut tiket ke Liga Super musim depan kerana menamatkan kempen Liga Perdana di tangga ketiga.

Meskipun timbul tanda tanya mengenai masa depan kelab itu kerana dibelenggu masalah kewangan, Devan percaya MIFA akan terus bersaing musim depan.

"MIFA sekarang sedang mencari penaja dengan satu syarikat, kalau berjaya ia akan membantu kewangan pasukan dan sudah tentu kita akan bertanding musim depan. Tapi dalam apa juga keadaan saya rasa MIFA akan tetap ada musim depan.

Malah kalau kita ada kewangan yang baik, kita boleh turunkan pasukan lebih baik berbanding musim ini," kata Devan.

Mengulas mengenai prestasi pasukan yang gagal bertahan pada babak kedua sehingga membenarkan JDT bangkit menyumbat tiga gol di Stadium Shah Alam, Devan mengakui ketiadaan dua pemain import iaitu pertahanan Elizeu Melo dan penyerang Kpah Sherman antara faktor mereka tidak mampu menyaingi kekuatan lawan.

"Pemain kita kebanyakan kurang pengalaman jadi dengan adanya pemain import ia akan mengimbangi kekurangan ini. Tapi dua pemain import kita tidak bermain, jadi kita tak dapat nak tandingi JDT.

"Memang saya tidak puas hati dengan prestasi pemain walaupun mereka ada kesungguhan dan komitmen. Saya kecewa sedikit kalau kita hanya kalah 2-0 dan dengan keputusan di Kota Bharu, kita boleh layak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 6:01 PM
Skip this ad x