JURULATIH Felda United, B Sathianathan. FOTO Hafiz Sohaimi
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Kejayaan jurulatih tempatan memacu kelab mereka musim ini seharusnya membuka mata banyak pihak untuk lebih menghargai ‘barangan tempatan’ daripada ‘barangan import.’

Justeru, Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berharap lebih ramai pengendali tempatan diberi peluang untuk membimbing pasukan musim depan sambil tetap mengalu-alukan jurulatih import yang berkualiti.

Presiden PJBM, B Sathianathan berkata, peningkatan ketara ditunjukkan oleh pasukan seperti Sabah, Kelantan dan MIFA yang beraksi cemerlang pada Piala Malaysia menjadi bukti jurulatih tempatan mampu menggalas tugas itu jika diberi peluang.

“PJBM amat berbangga dengan jurulatih seperti Jelius (Ating), Yusri (Che Lah) dan (K) Devan kerana membuktikan kita tidak ketandusan jurulatih tempatan berwibawa.

“Anda dapat lihat bagaimana Jelius dan Yusri mampu mengubah pasukan masing-masing selepas mengambil alih tugas itu daripada jurulatih import hingga mara ke suku akhir Piala Malaysia.

“Begitu juga Devan yang berjaya membentuk MIFA, pasukan yang boleh dianggap ‘biasa’ kepada ‘giant-killer’ dengan membuat kejutan dalam Piala Malaysia.

“Selain itu, pasukan seperti Melaka United yang mengambil langkah berani menyingkirkan jurulatih import juga menunjukkan peningkatan ketara selepas dilatih oleh Ela (E Elavarasan),” kata Sathia.

Malah menurut Sathia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri kini menaruh kepercayaan kepada jurulatih tempatan dengan melantik Tan Cheng Hoe sebagai pengendali Harimau Malaya sementara Datuk Ong Kim Swee pula membimbing skuad Bawah 23 Tahun negara.

Bagaimanapun jurulatih FELDA United itu menegaskan beliau tidak bermaksud supaya memboikot jurulatih luar sebaliknya memberi kepercayaan kepada anak tempatan jika tidak mendapat pengendali import berkualiti.

“Kalau anda boleh bawa jurulatih yang bagus seperti JDT, apa salahnya kerana selain meningkatkan kualiti pasukan, mereka juga dapat menurunkan ilmu kepada jurulatih tempatan.

“Tapi masalahnya, kebanyakan pasukan mudah terpesona dan terpedaya dengan ‘barangan luar’. Asal jenama import, semua mereka anggap bagus dan beli tanpa usul periksa.

“Nasihat saya, selidik dahulu, jangan mudah terpesona dengan cerita dongeng ‘si tukang kasut’. Lagipun jurulatih kita sudah ramai yang bagus, tak perlu nak tengok jauh-jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 2:16 PM