PENYERANG Olympique de Marseille, Dimitri Payet meraikan jaringan cantik ketika aksi menentang Guingamp. FOTO AFP
AFP

PARIS: Dimitri Payet menghasilkan gol menarik ketika Marseille membelasah Guingamp 4-0 di Stade Velodrome, awal pagi tadi untuk melonjak ke tangga kedua Ligue 1.

Selepas Florian Thauvin membuka tirai jaringan pada babak kedua, Payet melepaskan rembatan separa voli dari jarak 30 meter yang menerjah ke penjuru gol.

Pemain sayap, Thauvin sekali lagi menambah jaringan, sebelum Payet bijak menolak kemas bola kepada Kostas Mitroglou untuk melengkapkan aksi bertenaga Marseille pada separuh masa kedua.

Skuad kendalian Rudi Garcia itu merampas tangga kedua liga daripada Lille berdasarkan perbezaan gol, tetapi masih kekal lima mata di belakang peneraju Paris Saint-Germain yang menjinakkan Saint-Etienne 4-0, semalam.

“Dua kemenangan berturut-turut menghadiahkan kami kedudukan kedua, jadi ia amat mudah untuk meraih posisi itu, tapi begitu sukar untuk mengekalkannya,” kata Garcia.

Percubaan terbaik babak pertama tuan rumah hadir menerusi Thauvin, tetapi rembatan selepas larian bertenaganya yang membuka ruang kosong dalam kotak penalti berjaya dihalang.

Selepas buntu 45 minit pertama, Garcia membawa masuk Maxime Lopez untuk menggantikan Lucas Ocampos dan percaturannya tampak membuahkan hasil.

“Dia (Lopez) memperagakan kemahiran teknikal dan kualiti kawalan bola yang baik,” jelas Garcia. “Setiap pemain mempamerkan aksi sederhana pada separuh masa pertama dan lebih baik di babak kedua.”

Sementara itu, permulaan buruk Bordeaux musim ini berterusan apabila mereka sekadar seri 3-3 dengan Nimes di laman sendiri untuk berada di tangga kedua tercorot Ligue 1. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 8:33 AM