EUGENIUS LO FOH SOON
BERNAMA

SERI ISKANDAR: Berbekalkan fokus dan kesabaran, atlet Sabah, Eugenius Lo Foh Soon menebus kekecewaan di sebelah pagi dengan menghadiahkan emas pertama memanah buat kontinjen Sabah dalam acara compound 70m pada sesi petang.

Tanpa menghiraukan sebarang tekanan di sekelilingnya, pelajar Sekolah Tinggi Kota Kinabalu berusia 17 tahun itu dengan tenang membidik panahan 349 mata, sekali gus meraih kelebihan lebih tiga mata berbanding pencabar terdekatnya, Muhammad Aliff Aiman Mohd Hassri dari Selangor yang meraih pingat perak.

Pingat gangsa pula diraih atlet Sarawak, Ngu Gao Teck dengan 344 mata.

Berasal dari Kota Kinabalu, Eugenius yang menyertai temasya SUKMA buat kali kedua berkata, pencapaian hari ini adalah yang terbaik setakat ini, malah juga mengakui jarang turun berlatih disebabkan lebih menumpukan kepada pelajaran.

“Sebenarnya sukan memanah lebih sekadar hobi, lebih-lebih pula tahun ini saya akan menempuh SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), jadi saya jarang turun berlatih. Saya tidak sangka dapat meraih pingat emas dalam acara ini.

“Saya berterima kasih terutama kepada jurulatih saya, Gabriel Liew yang tidak putus-putus memberi dorongan dan percayakan kebolehan saya,” katanya kepada Bernama selepas tamat kejohanan hari pertama acara itu di Lapangan Memanah Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, hari ini.

Pada sebelah paginya, Eugenius meraih pingat perak dalam compound 90m individu lelaki.

Menurutnya, misi seterusnya adalah mengekalkan pingat emas di tangan Sabah menerusi acara compound berpasukan lelaki yang dimenangi bersama rakannya pada Sukma 2016 di Sarawak.

Keputusan lain menyaksikan atlet memanah Kedah, Nur Ain Ayuni Fozi yang pada sebelah paginya sekadar meraih gangsa bagi acara recurve 70m wanita, menebus kekecewaan meraih emas dalam acara recurve 60m individu wanita dengan memungut 322 mata.

Nurul Fatin Adibah Mohd Zamri, atlet tuan rumah Perak yang sebelah paginya muncul juara dalam acara recurve 70m wanita bagaimanapun terpaksa berpuas hati meraih pingat perak selepas kurang dua mata di belakang Nur Ain Ayuni untuk merangkul pingat perak.

Manakala pingat gangsa dimiliki seorang lagi atlet tuan rumah, Nurul Basirah Mohamad Shah (317 mata).

Dalam aksi compound 60 m individu wanita, pingat emas menjadi milik atlet Sarawak, Amber Francesca Naja Edwin dengan 348 mata, manakala atlet Terengganu, Athirah Awni Mat Yatya (346 mata) dan atlet Pahang Nur Azlin Azlan (343 mata) masing-masing sekadar meraih pingat perak dan gangsa.

Acara recurve 70m individu lelaki pula menyaksikan atlet Melaka, Muhammad Norhairulnizam Rosdi merangkul pingat emas dengan 324 mata, diikuti atlet Terengganu, Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan (318 mata), manakala gangsa dimiliki atlet Negeri Sembilan Izat Halmie Ishak (317 mata).

Esok, hari kedua sukan memanah akan menyajikan lapan emas dipertandingkan dalam kategori recurve dan compound bagi acara jarak 50 meter lelaki dan wanita serta acara jarak 30 meter lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 8:19 PM