IMBULA julang Rayo. FOTO/AFP
Agensi

MADRID: Giannelli Imbula meledak gol menarik dalam penampilan sulungnya tatkala Rayo Vallecano meraih kemenangan 1-0 ke atas Huesca dalam pertembungan antara kelab pendatang baharu La Liga, awal pagi tadi.

Pemain tengah pinjaman dari Stoke City itu merembat kencang ke penjuru kanan gawang pada minit ke-29 menerusi percubaan dari luar kotak penalti untuk membolehkan pasukan barunya meraih mata penuh pertama musim ini.

Rayo sekali lagi menemui jaringan pada babak kedua tetapi gol oleh Raul de Tomas dibatalkan pengadil bantuan video (VAR) kerana berlaku kekasaran.

Ia kekalahan kedua Huesca selepas membuka kempen dengan satu kemenangan dan seri.

Rayo, yang kali terakhir beraksi dalam La Liga pada kempen 2015-16, tewas dua aksi pertama dengan aksi ketiga bertemu Athletic Bilbao terpaksa dibatalkan berikutan kebimbangan terhadap keselamatan di stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 10:23 AM