PEMAIN sayap Russia, Denis Cheryshev. FOTO Agensi
AFP

MOSCOW: Pemain sayap Russia, Denis Cheryshev yang muncul antara pemain paling menyinar di Piala Dunia 2018 sedang disiasat atas tuduhan kesalahan doping, lapor media tempatan, hari ini.

“Kes ini sedang disiasat oleh Agensi Anti Doping Sepanyol,” lapor akhbar Russia, Sport Express memetik jurucakap media Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

“Mereka akan memaklumkan kepada WADA mengenai keputusan siasatan itu.”

Pemain berusia 27 tahun itu dihidu melakukan kesalahan berkenaan selepas bapanya dalam satu temuramah berkata anaknya menerima rawatan pertumbuhan hormon sebelum Piala Dunia.

Pengambilan hormon pertumbuhan tanpa penggunaan terapeutik boleh mengakibatkan penggantungan selama empat tahun.

Bapa Cheryshev kemudian berkata, kenyataannya disalah tafsir oleh wartawan.

Pemain tengah Villarreal itu, yang dipinjamkan ke Valencia musim ini menafikan sebarang salah laku.

“Saya fikir lebih baik kita membiarkan kes ini di tangan pakar perubatan, yang melakukan segala-galanya dengan betul,” kata Cheryshev kepada Sport Express. 

“Dari sudut saya segala-galanya adalah jujur dan saya fikir tidak akan ada masalah,” katanya yang meledak empat gol untuk Russia yang mencipta kejutan mara ke suku akhir Piala Dunia di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 10:22 PM