PELUMBA muda Monaco, Charles Leclerc. FOTO Agensi
AFP

MILAN: Pelumba muda Monaco, Charles Leclerc yang menggantikan pemandu veteran, Kimi Raikkonen bersama pasukan Formula Satu (F1) Ferrari musim depan menyifatkan keputusan itu sebagai ‘mimpi jadi kenyataan.’

Leclerc, 20, yang juga produk Akademi Ferrari adalah juara perlumbaan Formula 2 pada 2017  dan membuat penampilan sulungnya di kancah F1 musim ini bersama pasukan Sauber.

“Mimpi menjadi kenyataan,” tulis Leclerc dalam laman Twitter. “Saya akan memandu untuk @scuderiaferrari bagi Kejuaraan Dunia Formula 1 2019.”

Pada penampilan pertamanya musim ini, Leclerc berjaya membuktikan kemampuannya apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix Azerbaijan di kedudukan keenam.

Selama beberapa tahun di Scuderia Ferrari, Leclerc diuruskan oleh Nicolas Todt, anak kepada bekas Prinsipal Ferrari dan Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Jean Todt.

“Saya terhutang budi kepada @scuderiaferrari atas peluang yang diberikan. Kepada @nicolastodt kerana menyokong saya sejak 2011. Kepada keluarga saya.”

Raikkonen, 38, sudah mengharungi 287 perlumbaan F1 dan memenangi 20 daripadanya sejak penampilan sulungnya bersama Sauber pada 2002.

Pelumba Finland itu meraih podium ke-100 apabila menamatkan perlumbaan GP Itali di Monza bulan ini di kedudukan kedua selepas merangkul petak pertama ke-18 dengan bergaya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 7:21 PM