Shahrel Fikri. FOTO fail HM Digital
Daripada Aziman Rosdi 
aziman@nstp.com.my


PHNOM PENH: Penyerang Shahrel Fikri Md Fauzi membuktikan betapa dirinya mampu menggalas tugas penggempur utama pada kempen Piala AFF November depan selepas membantu Harimau Malaya bangkit menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi persahabatan antarabangsa semalam.

Dimasukkan sebagai pemain gantian pada 30 minit terakhir sudah cukup untuk pemain kelab liga utama Thailand, Nakhon Ratchashima itu melakukan impak dengan mencipta peluang kepada Shahrul Saad dan Syazwan Andik menghasilkan jaringan sebelum dia meledak gol antarabangsa pertamanya pada masa tambahan.

Shahrel berkata, walaupun hanya masuk sebagai pemain gantian oleh pengendali Tan Cheng Hoe buat kali kedua selepas tewas 0-2 kepada Taiwan dalam satu lagi aksi persahabatan Jumaat lalu, ia tidak pernah melunturkan semangatnya.

“Saya masuk ke padang dengan motivasi tinggi untuk mendapatkan kemenangan di tempat lawan, sudah lama kita tak menang di tempat lawan, jadi saya bertekad buat impak yang besar sebab saya pemain yang beraksi di luar negara.

Justeru, saya nak tunjukkan pengalaman saya di sana dapat membantu skuad kebangsaan selain mahu buktikan bahawa saya boleh berada dalam kesebelasan utama pasukan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Kemenangan ke atas Kemboja yang berada di ranking ke-166 dunia bukan saja penting untuk memperbaiki ranking Malaysia yang menghuni tangga ke-171, malah sebagai suntikan moral buat Harimau Malaya yang kali terakhir mencatat kemenangan di tempat lawan ke atas New Caledonia 2-1 pada 22 Jun 2016.

Anak buah Tan Cheng Hoe akan bertemu sekali lagi dengan Kemboja yang dibimbing bintang Jepun, Keisuke Honda pada aksi pertama Kumpulan A saingan Piala AFF di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh.

Bagi Shahrel, masih banyak yang perlu tingkatkan jika dia mahu berada dalam skuad ke Piala AFF.

“Insya’Allah selepas ini saya akan kembali ke kelab dan perlu terus meningkatkan prestasi serta memperbaiki kelemahan diri. Tengok nanti macam mana keputusan jurulatih Tan Cheng Hoe untuk perlawanan seterusnya,” katanya yang menyertai Nakhon Ratchasima pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 3:25 PM