ASPAS (kanan) pamer aksi cemerlang ketika aksi bertemu England. -Foto Reuters
Reuters

MADRID: Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique menyatakan beliau melakukan kesilapan kerana tidak memanggil Iago Aspas lebih awal bagi aksi Liga Negara Eropah menentang England dan Croatia.

Penyerang Celta Vigo, Aspas menggantikan Diego Costa dalam skuad selepas penyerang Atletico Madrid itu diketepikan kerana alasan peribadi.

Aspas menyerlah ketika Sepanyol menundukkan England 2-1 di Wembley dalam Liga A, Kumpulan 4, Sabtu lalu.

Sepanyol menerima kunjungan naib juara Piala Dunia, Croatia di Elche awal pagi esok dan Aspas dijangka turun dalam kesebelasan utama sekali lagi.

“Anda mendapat idea mengenai apa yang anda harapkan daripada seseorang dan selepas sesi latihan dia membuktikan kepada anda dia mempunyai sesuatu,” kata Enrique.

“Saya menyedari kesilapan saya. Saya fikir dia bertindak baik, saya menyaksikannya berlatih dengan bagus. Saya terbuka dengan perubahan. Pasukan ini lebih penting berbanding perkara lain.”

Jurulatih itu tidak mendedahkan kesebelasan utamanya namun berkata, pemainnya kelihatan tidak letih selepas mengatasi England.

Bahagian tengah Croatia menampilkan pemain Real Madrid, Luka Modric, seorang daripada tiga finalis bagi anugerah Terbaik FIFA dan Ivan Rakitic, yang bermain di bawah kendalian Enrique di Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 11:24 AM