CHENG Hoe ketika mengendalikan sesi latihan. FOTO/FAIL
Daripada Aziman Rosdi di Phnom Penh
aziman@nstp.com.my


KEHADIRAN tiga pemain Kemboja yang berpengalaman beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) mencetuskan kebimbangan buat skuad Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, esok.

Pemain tengah Thierry Chantha Bin yang kini mewakili Terengganu dan bekas penyerang Negeri Sembilan Prak Mony Udom dan PKNP FC Keo Sokpheng bakal memperkuatkan skuad tuan rumah yang mendapat sentuhan jurulatih baharu dari Jepun, Keisuka Honda.

Bagaimanapun, bekas penyerang Pahang, Chan Vathanaka yang kini beraksi dengan Boeung Ket FC belum pasti berada dalam pasukan.

Ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe percaya, kehadiran tiga pemain berkenaan mampu memberi kelebihan kepada skuad Angkor Warriors itu.

“Kita tahu mereka ada tiga pemain yang masih dan pernah beraksi di Malaysia, sudah tentu sedikit sebanyak mereka tahu kekuatan pemain Malaysia. Mungkin dengan jurulatih baharu, Keisuke Honda, ia akan memberi impak terbaik.

“Saya harap pemain kita tidak tertekan, memberikan persembahan terbaik kerana kita masih lagi mencari kombinasi antara pemain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kemenangan ke atas Kemboja cukup penting buat Harimau Malaya selepas merekod kekalahan 0-2 dengan Taiwan dalam satu lagi aksi persahabatan di Taipei City, Jumaat lalu.

Malah ini juga dianggap ujian awal buat anak buah Tan Cheng Hoe yang bakal berdepan Kemboja dalam perlawanan pertama Kumpulan A Piala AFF pada November depan.

Menurut bekas jurulatih Kedah itu, kekalahan di tangan Taiwan memberi sedikit kesan kepada moral pemain namun beliau tidak akan melakukan rombasan besar dalam kesebelasan utama.

“Selepas kalah dengan Taiwan, ia sedikit sebanyak mengganggu mental pemain dan saya harap mereka kembali bersedia. Saya mungkin akan membuat sedikit rombakan kerana ada pemain yang masih kepenatan akibat bermain dalam padang becak menentang Taiwan,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia yang kini berada di ranking ke-171 dunia bertemu Kemboja (166) adalah dalam kempen Piala AFF 2016 Yangon, Myanmar dengan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menang 3-2.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 5:08 PM