POGBA (tengah) gigih ketika menjalani latihan. FOTO/AFP
Agensi

PARIS: Paul Pogba mengakui lega apabila kembali beraksi bersama rakan sepasukannya (Perancis), sekali gus dapat melupakan seketika isu penghijrahannya, selepas dikatakan mempunyai hubungan tegang dengan pengurus Manchester United, Jose Mourinho.

Khabar angin mengenai keretakan hubungan Pogba-Mourinho itu terus diperkatakan di Old Trafford dan pemain yang melakar rekod perpindahan kelab sebanyak 89 juta pound (RM476 juta) itu berkata, saingan Liga Negara-Negara Eropah adalah masa yang tepat untuknya melupakan isu perpindahannya itu.

Pogba mempamerkan prestasi baik ketika seri 0-0 dengan Jerman di saingan Liga Negara-Negara di Munich, tetapi dia lebih gembira dapat beraksi semula bersama rakan sepasukan buat kali pertama selepas memenangi Piala Dunia di Russia.

Perancis akan melayan kunjungan Belanda di Stade de France, hari ini.

“Saya sentiasa gembira dapat kembali semula bersama skuad kebangsaan. Suasana di sini sangat hebat,” katanya.

Pogba yang dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus atau Barcelona pada musim panas, tidak mahu terbabit dengan sebarang kontroversi mengenai situasinya di Old Trafford selepas permulaan liga yang hambar.

Katanya, dia berasa bosan dengan mereka yang mempersoalkan mengenai komitmennya.

“Bukan saya yang mencetuskan khabar angin ini. Saya hanya melakukan kerja saya dan bekerja keras setiap masa,” katanya.

Ditanya secara spesifik hubungannya dengan Mourinho, Pogba berkata: “Kami mempunyai hubungan yang baik antara pemain dan jurulatih. Tapi yang pasti saya akan berikan 100 peratus tidak kira siapa pengurus.

“Saya akan memberikan segala-galanya untuk United,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 1:24 PM