NOVAK DJOKOVIC
Reuters

NEW YORK: Novak Djokovic akan bertemu Juan Martin del Potro pada aksi final Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas sensasi Serbia itu menewaskan Kei Nishikori 6-3 6-4 6-2 di separuh akhir, sebentar tadi.

Djokovic, juara Terbuka Wimbledon tahun ini, mempamer aksi bertenaga dengan memenangi 80 peratus daripada servis pertamanya, sekali gus menewaskan Nishikori dalam tempoh dua jam, 23 minit.

“Saya rasa sangat baik. Nampak mudah tetapi sebenarnya anda perlu mematikan setiap pukulan balas Nishikori yang sangat pantas,” katanya.

Nishikori mempamer aksi lebih baik di set kedua dengan kerap beraksi di jaring tetapi, Djokovic terus kekal konsisten dengan aksi terbaiknya.

Djokovic yang terpaksa menarik diri di kejohanan sama musim lalu kerana kecederaan siku dan kembali beraksi kali ini selepas baru menjalani pembedahan berkata, dia cukup teruja dapat kembali beraksi di pentas tertinggi.

“Sepertimana pemain tenis di seluruh dunia, saya juga mahu sentiasa memberikan yang terbaik,” katanya.

Berjaya melangkah ke final Grand Slam memberi gambaran pemenang 13 kejuaraan utama itu kini kembali berada pada prestasi terbaik dan perlu lebih agresif apabila bertemu Del Potro.

Nishikori beraksi dengan lebih baik di set ketiga, tetapi pemain berusia 28 tahun itu akhirnya tidak dapat menghalang Djokovic daripada meraih kemenangan mutlak.

Kejayaan terbaru itu menyaksikan Djokovic melebarkan dominasinya ke atas Nishikori apabila mencatat 15 kemenangan sepanjang 17 pertemuan.

Terdahulu, Del Potro melangkah ke final selepas lawannya yang juga juara bertahan, Rafa Nadal bersara berikutan kecederaan lutut di set kedua.   

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 10:54 AM