PAUL POGBA
Reuters

LONDON: Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba kekal berahsia mengenai masa depannya di Liga Perdana Inggeris selepas media Sepanyol mengaitkannya dengan perpindahan ke Barcelona.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu yang berpindah ke Old Trafford dengan yuran perpindahan £89.3 juta (RM478 juta) dari Juventus, dikatakan mempunyai hubungan yang renggang bersama pengurus United, Jose Mourinho.

“Masa depan saya ketika ini di Manchester. Saya masih mempunyai kontrak dan beraksi di sana ketika ini. Tapi tiada siapa tahu apa akan berlaku dalam tempoh beberapa bulan lagi,” katanya.

Mourinho cuba menafikan situasi tegangnya dengan Pogba apabila berkata, beliau berpuas hati dengan pemain itu.

Pemain berusia 25 tahun itu menggalas tugas kapten bagi dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris musim ini selepas ketiadaan Antonio Valencia dan dia turut menjaringkan dua gol.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Mourinho, Pogba berkata: “Kami mempunyai hubungan jurulatih-pemain.

“Satu perkara yang boleh saya beri jaminan adalah saya akan beri komitmen 100 peratus dengan mana-mana jurulatih.

“Komitmen sama juga saya berikan kepada United. Hanya itu saja yang saya boleh katakan ketika ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 9:59 AM