SNEIJDER meninggalkan padang selepas tamat perlawanan sambil diberi tepukan gemuruh daripada penyokong Belanda. -Foto AFP
AFP

AMSTERDAM: Wesley Sneijder melakukan penampilan ke-134 dan terakhir buat Belanda awal pagi tadi pada perlawanan yang menyaksikan Memphis Depay meledak dua gol untuk membantu mereka menewaskan Peru 2-1 pada perlawanan persahabatan di Amsterdam.

Suasana sedih menyelubungi Arena Johan Cruyff selepas jurulatih Belanda, Ronald Koeman menyerahkan lilitan kapten kepada Sneijder yang kini berusia 34 tahun.

Bekas perancang Real Madrid dan Inter Milan itu yang berpindah ke kelab Qatar, Al Gharafa awal tahun ini, meminta penyokong menyertainya dalam laluan untuk keluar stadium.

Sneijder yang membantu Belanda melangkah ke final Piala Dunia 2010, menerima penghormatan daripada 50,000 penyokong di Ajax, kelab permulaan kariernya.

Pemain paling banyak beraksi bersama Belanda itu yang membuat penampilan pertama pada 2003, mengambil keputusan untuk bersara ketika Belanda sedang membentuk semula pasukan selepas gagal layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

Peru terlebih dahulu berada di depan menerusi gol awal Pedro Aquino tetapi Depay yang juga penyerang Lyon menyamakan kedudukan sejam selepas itu sebelum meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Koeman kemudian mengesahkan akan melakukan beberapa pertukaran untuk bertemu juara dunia, Perancis Ahad ini pada perlawanan pertama mereka dalam aksi Liga Negara Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 9:54 AM