TIGER WOODS
AFP

PHILADELPHIA: Tiger Woods melakar catatan pusingan pertama terbaik dalam hampir 20 tahun untuk menyertai pemain Ireland Utara, Rory McIlroy sebagai pendahulu Kejuaraan BMW, awal pagi tadi.

Woods, pemenang 14 gelaran utama dan McIlroy mendahului satu pukulan selepas kedua-duanya merakam lapan bawah par 62 yang menandakan catatan terbaik pemain Amerika Syarikat itu pada pusingan pertama PGA sejak kejohanan Klasik Byron Nelson 1999.

Woods meraih satu eagle dan tujuh birdie serta hanya satu bogey pada sembilan lubang terakhir di Aronimink Golf Course di Philadelphia.

Woods disertai McIlroy yang mencuri tumpuan dengan 10 birdie dan catatan terbaik karier enam birdie berturut-turut, bermula dari lubang terakhir sembilan lubang pertamanya.

McIlroy bagaimanapun merudum dan harapan melakukan 59 tidak kesampaian apabila dia bogey lubang ke-16 dan 17.

Ia kali pertama Woods berkongsi pendahulu Jelajah PGA selepas mana-mana pusingan sejak memenangi Kejuaraan WGC-Cadillac 2013.

Woods dan McIlroy berlatih bersama sebanyak sembilan lubang, Selasa lalu.

“Saya melakukan beberapa putt dan dari luar green dengan birdie pada 10, 12 dan 13 jadi bagus untuk memulakannya sebegini,” kata Woods, yang bermula dari lubang ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 8:08 AM