PEMAIN pertahanan West Ham, Pablo Zabaleta. FOTO Agensi
Reuters

LONDON: West Ham United perlu memberi kepercayaan terhadap pengurus baru Manuel Pellegrini dan mula menampilkan aksi terbaik mereka di padang jika mahu mengelak tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris, menurut pertahanannya Pablo Zabaleta.

West Ham yang sejak dua musim lalu bergelut di kelompok bawahan liga, tewas empat perlawanan pertama mereka musim ini untuk terus memberi tekanan terhadap Pellegrini.

“Ia sama saja seperti musim lalu apabila kami tidak bermula dengan baik dan memang sukar tetapi kami tidak mahu ia terjadi. Kami pernah melihat pasukan yang bagus menjunam jadi kami perlu berjuang,” kata Zabaleta.

“Kami mempunyai kualiti dalam pasukan tetapi pemain perlu mempamerkan aksi hebat. Anda perlu percayakan Pellegrini kerana beliau berpengalaman mengendalikan pasukan hebat sebelum ini.”

West Ham membawa masuk bekas pengurus Manchester City dan Real Madrid Pellegrini untuk menggantikan David Moyes pada Mei dan Zabaleta berkata pengurus baru itu perlukan masa untuk menerapkan falsafahnya.

“Buat kali pertama mungkin beliau tidak mempunyai kualiti yang sama seperti dalam pasukan yang pernah dikendalikannya sebelum ini.

“Mungkin beliau akan mengambil lebih banyak masa berbanding di kelab lain untuk memperbaiki keadaan,” kata Zabaleta yang tiga tahun di City bersama Pellegrini.

"Di Manchester City, pasukannya sungguh berkualiti, kami menang dengan mudah. Di sini keadaannya tidak sama. Namun beliau pengurus yang baik dan akan mencari jalan terbaik untuk mendapatkan keputusan yang baik.”

West Ham berkunjung ke Everton selepas aksi antarabangsa disusuli perlawanan di laman sendiri menentang Chelsea dan Manchester United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 7:51 PM