PEMAIN MISC-MIFA cuba menghalang penyerang Kelantan, Cristiano Santos (tengah) pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV. FOTO Zaman Huri Isa
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


SEREMBAN: Biarpun terpaksa menempah laluan sukar untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia susulan keputusan seri dengan Kelantan, namun pengurus pasukan MIFA, K Rajendran, masih yakin skuad berkenaan mampu melakar kejayaan layak dalam kelompok lapan pasukan terbaik saingan itu.

 Baginya, peluang buat anak buah K Devan untuk mencipta kejutan pada saingan berprestij tempatan itu masih belum tertutup, walaupun bakal berdepan perlawanan penentuan dengan Johor Darul Ta`zim (JDT), di Stadium Shah Alam, 16 September ini.

 "Kita sedar kedudukan MIFA agak mencabar untuk layak ke suku akhir selepas kita sekadar mengutip satu mata ke atas Kelantan dan tidak dinafikan kita akan berdepan tugas berat dalam misi merealisasikan sasaran layak ke suku akhir.

 "Kita akan bertemu JDT pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C di Shah Alam, walaupun kita hanya memerlukan keputusan seri untuk layak tetapi ia bukan suatu tugas mudah kerana lawan adalah pasukan handalan.

 "Namun, saya yakin peluang masih ada buat MIFA dan kita akan melakukan persiapan yang lebih rapi menjelang perlawanan terakhir itu nanti untuk memastikan pasukan dapat membuat persembahan lebih baik dan mencapai kemenangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 Ketika ini, MIFA masih mengungguli carta Kumpulan C dengan kutipan lapan mata berkongsi mata dengan Kedah, manakala JDT dengan enam mata di tangga ketiga.

 Mengulas lanjut, Rajendran berkata, pihaknya yakin dengan kehadiran semula pemain utama Kpah Sherman dan L` Imam Seydi dalam kesebelasan utama kelak selepas mereka tidak beraksi ketika menentang Kelantan, MIFA mampu memberikan persembahan lebih baik apabila berdepan JDT.

 "Memang ada perbezaan apabila kedua-dua pemain utama itu tidak beraksi. Kami akan buat yang terbaik apabila berdepan JDT nanti dan saya mengharapkan pemain kekal fokus untuk memastikan impian layak ke suku akhir dapat direalisasikan," katanya.

 Beliau juga mengesahkan bahawa MIFA sudah mengatur dua aksi persahabatan dalam tempoh rehat hampir dua minggu untuk memperkemaskan lagi pasukan dan memantapkan persembahan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 7:37 PM