MBAPPE (kanan) turut ledak gol untuk PSG. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Kylian Mbappe membantu Paris Saint-Germain (PSG) melakarkan kemenangan biarpun mereka dihantui oleh kecelaruan VAR apabila lawan dianugerahkan sepakan penalti sebelum menang 4-2 ke atas Nimes dalam aksi Ligue 1, pagi tadi.

Neymar dan Angel di Maria, meletakkan PSG mendahului di Stade des Costieres sehinggalah 20 minit terakhir apabila lawan berjaya menyamakan kedudukan 2-2.

Namun Mbappe kembali membantu meletakkan PSG di depan minit ke-77, gol keempatnya dalam tiga penampilan sejak memenangi Piala Dunia sebelum Edinson Cavani melengkapkan kemenangan apabila menyumbat masuk gol keempat pada waktu kecederaan.

Bagaimanapun Mbappe perlu membetulkan keadaan selepas bertembung dengan Teji Savanier dengan kedua-dua pemain itu dilayangkan kad merah pada minit terakhir perlawanan.

PSG kini menang kesemua empat perlawanan dalam Ligue 1 musim ini di bawah kendalian jurulatih baru dari Jerman Thomas Tuchel.

Mereka kini tiga mata mendahului Dijon yang tewas 0-2 kepada Caen untuk menempuh satu permulaan yang sempurna musim ini.

“Ia satu kemenangan yang hebat. Suasana di Nimes ini gila. Padang sangat mengerikan,” kata Tuchel.

Mbappe dikeluarkan daripada padang selepas dilayangkan kad merah namun menegaskan dia sedikitpun tidak menyesal.

“Jika saya terpaksa melakukannya sekali lagi, saya akan lakukan dan akan memohon maaf kepada semua penyokong dan semua orang,” kata Mbappe.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:09 PM