BENZEMA (tengah) ketika meledakan gol. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Karim Benzema meledakkan dua gol dengan Gareth Bale turut meletakkan namanya sebagai penjaring untuk membantu Real Madrid melakarkan kemenangan selesa 4-1 ke atas Leganes ketika Atletico Madrid berdepan kekalahan dalam aksi La Liga.

Benzema mencetak dua gol pada babak kedua dan mungkin berpeluang untuk melakarkan jaringan hatrik seandainya Sergio Ramos memberinya peluang untuk menyempurnakan penalti selepas Marco Asensio dikasari.

Atletico terpaksa akur akan kekalahan kepada jirannya apabila tewas 0-2 di Celta Vigo dengan jurulatih Diego Simeone menyifatkan kekalahan itu sebagai 'kejutan yang besar’.

Di Santiago Bernabeu, Bale membuka gol awal menerusi jaringan voli yang menarik dengan penyerang Leganes, Guido Carrillo menyempurnakan sepakan penalti yang mana menyaksikan gawang Thibaut Courtois dicerobohi untuk mengikat kedudukan 1-1.

Di bawah kendalian jurulatih baru, Julen Lopetegui biarpun kehilangan Cristiano Ronaldo, Bale dan Benzema berjaya mempamerkan aksi memukau.

Bale kini menjaringkan tiga gol dan Benzema empat gol sepanjang tiga perlawanan pertama La Liga musim ini.

Bersama-sama dengan Asensio, Real mungkin akan menggunakan trio baru di barisan serangan yang lebih berbisa namun kemudiannya Lopetegui menolak idea itu.

“Perkataan tidak boleh disentuh tidak wujud dalam bola sepak. Matlamat utama adalah menjaga keseluruhan pasukan,” kata Lopetegui

Real meraih mata penuh selepas tiga perlawanan pembukaan berbanding musim lalu apabila mereka berada di belakang Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 9:05 AM