INSIDEN pemain import Kedah, Paulo Rangel yang menendang penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

 

KUALA LUMPUR: Penyerang import Kedah, Paulo Rangel digantung tiga perlawanan termasuk satu penggantungan automatik berkuatkuasa serta merta oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia susulan tindakan ganas pemain kelahiran Brazil itu yang menendang penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Farizal Marlias pada aksi Liga Super antara Kedah dan JDT di Stadium Darul Aman, 13 Julai lalu.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, Rangel didapati melanggar artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan artikel 18.4 kod tatatertib FAM, di mana dia turut didenda RM3,000.

"Selain digantung dan didenda, dia juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama," kata Baljit.

Sementara itu, dalam mesyuarat sama menyaksikan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) didenda sebanyak RM5,000 ekoran tindakan penyokong tuan rumah yang menyalakan bom asap dan melepaskan mercun roket ke udara semasa perlawanan antara Melaka dan Kuala Lumpur 9 Jun lalu.

"MUSA turut bersalah kerana melanggar artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM dan didenda sebanyak RM5,000 dan dikehendaki untuk menjelaskan jumlah denda yang dikenakan dalam masa empat belas (14) hari waktu bekerja dari tarikh penerimaan keputusan ini.

"Mereka juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama," katanya.

Pemain futsal wanita Selangor United MPSJ, Nor Hawa Md Yasdin turut tidak terlepas menerima hukuman berat apabila digantung selama tiga bulan daripada bermain dalam mana-mana kejohanan kelolaan FAM sama ada perlawanan futsal mahupun bola sepak padang.

Nor Hawa didapati melanggar artikel 51.1(a) dan (b) dibaca bersama dengan artikel 59 kod tatatertib FAM kerana berkelakuan buruk dan tidak bermain dengan fair play.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 11:49 PM