NIK Akif Syahiran Nik Mat. Foto ARKIB NSTP
Hasbullah Ibrahim
sukanteam@nstp.com.my


MIFA bukan lawan mudah buat Kelantan, walaupun pasukan itu bukan bertaraf elit.

Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, berkata The Red Warriors (TRW) tidak mempunyai pilihan lain selain menewaskan mereka Jumaat ini, jika mereka ingin layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Pemain yang baru pulang daripada mewakili skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Sukan Asia itu melihat pasukannya berpeluang cerah mencipta kejutan bagi mengisi salah satu slot ke suku akhir.

Nik Akif optimis kombinasi pemain muda dan senior mampu mencabar kemampuan lawan yang mempunyai rekod cemerlang tanpa sebarang kekalahan.

"Ketiadaan penyerang import berbisa mereka Kpah Sherman yang berdepan penggantungan selepas dilayangkan kad merah ketika berdepan Kedah, kelmarin membuka ruang kepada kami untuk menang.

"Kalau dilihat beberapa perlawanan sebelum ini, MIFA berada dalam prestasi baik dan menghuni tempat teratas yang sukar dicabar pasukan lain.

"Pertemuan dengan MIFA kali ini memang penting dan pastinya perlawanan itu sengit dalam menebus kembali kekalahan di tempat lawan.

"Jadi pada perlawanan ini, saya dan pasukan akan buat sebaik mungkin tambahan pula akan diperkuatkan dengan Cristiano Santos (penyerang import dari Brazil) yang sudah bebas beraksi," katanya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 3:48 PM