PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Taklimat Media 'Eat Right to Play Right' di Wisma FAM. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Insurans Malaysia Berhad Philip Smith. Foto BERNAMA
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my


PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan akan menghantar skuad terkuat bagi mengharungi Piala AFF bermula November ini meskipun pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh masih tiada dalam senarai baru 24 pemain dipanggil jurulatih Tan Cheng Hoe.

Dua puluh empat pemain itu akan menjalani latihan bermula 3 September bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Taiwan di Taipei City pada 7 September dan Kemboja di Phnom Penh (10 September) sebagai persiapan ke Piala AFF.

Daripada senarai itu, 16 pemain daripada skuad ketika menewaskan Fiji 1-0 di Cheras pada 5 Julai lalu dikekalkan dengan muka baru dipanggil termasuk Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Farizal Marlias (Johor Darul Ta'zim), Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima), Akhyar Rashid (Kedah) dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan).

Turut mendapat tempat, sembilan pemain daripada skuad bawah 23 tahun (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee yang beraksi sehingga ke pusingan kedua Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.

Bagaimanapun nama pemain kelahiran Gambia yang sudah mendapat taraf kerakyatan negara ini, Sumareh masih tidak kelihatan meskipun FAM sebelum ini bercadang membuka pintu kepada pemain naturalisasi menyarung jersi kebangsaan.

"Kena faham, ada perkara yang perlu melalui proses, tunggu bila sampai masanya, insya-Allah pada Piala AFF nanti, kita akan bawa barisan terkuat," kata Hamidin ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program "Eat Right to Play Right" anjuran Zurich Malaysia, hari ini.

Hamidin yang juga pengurus pasukan Harimau Malaya berkata, Cheng Hoe sudah mempunyai bayangan skuad terbaik dan beliau kini dalam proses untuk menilai pemain yang tidak bersama pasukan sebelum ini.

"Ada beberapa pemain yang kita tinggalkan kerana sudah memanggil mereka sebelum ini, selain ada pemain masih beraksi dalam saingan Piala Malaysia. Jurulatih Tan Cheng Hoe memang sudah ada barisan pemainnya, cuma kita akan umumkan senarai 23 pemain Piala AFF itu selepas bertemu Maldives," katanya.

Selepas Taiwan dan Kemboja, Harimau Malaya akan 'mengasah taring' mereka dalam aksi persahabatan dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil (3 November).

Pada kempen Piala AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Senarai 24 pemain Harimau Malaya

Penjaga Gol: Farizal Marlias, Khairul Fahmi Che Mat, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy

Pertahanan: Adam Nor Azlin, Fazly Mazlan, Shahrul Saad, Amirul Azhan Aznan, Rizal Ghazali, Syazwan Andik Ishak, Rawilson Batuil

Tengah: Nazmi Faiz Mansor, Nasir Basharudin, Akram Mahinan, Syazwan Zainon, Akhyar Rashid, Irfan Zakaria, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Mahali Jasuli, Syahmi Safari

Penyerang: Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Zaquan Adha Abd Radzak, Shahrel Fikri Fauzi, Norshahrul Idlan Talaha

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 6:15 PM