PASUKAN PETRONAS Yamaha Sepang Racing bakal berlumba untuk musim 2019 hingga 2021. FOTO PETRONAS Yamaha Racing
Daripada Sukhairi Thani di London
sukhairi@nstp.com.my


LONDON: Grand Prix (GP) British di Sirkit Silverstone melakar dua sejarah baharu bukan saja untuk litar berusia 70 tahun itu tetapi juga buat Malaysia amnya.

Jumaat lalu, Litar antarabangsa Sepang (SIC), PETRONAS dan juga Yamaha mengumumkan penyertaan pasukan pertama negara - PETRONAS Yamaha Sepang Racing - dalam kelas perdana perlumbaan MotoGP untuk musim 2019 sehingga 2021.

Pembabitan PETRONAS selaku penaja utama ini melengkapkan kerjasama dengan pihak SIC yang sebelum ini mempunyai dua pasukan dalam kelas Moto2 dan Moto3.

Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo mengisi slot pelumba pasukan negara dan biarpun menjadi persoalan hangat netizen, bagi penulis platform untuk pelumba tempatan mengisi slot dalam kelas berprestij itu pada masa akan datang kini semakin mudah.

Cuma pokok pangkalnya bak kata pepatah 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan' ataupun seperti perumpamaan Melayu 'rezeki tak datang bergolek' namun ia juga harus menerima sokongan baik daripada kementerian mahupun sektor swasta.

Usaha, disiplin, kesungguhan dan fokus seharusnya menjadi matlamat utama sekiranya ingin berjaya dalam sesuatu karier diceburi.

Biarpun begitu, penulis dapat merasakan GP Malaysia pada Oktober ini lebih meriah dengan kehadiran penyokong tempatan yang mahu menyaksikan persaingan 'awal'  antara Morbidelli dan pelumba negara yang beralih daripada jentera Yamaha ke KTM musim depan, Hafizh Syahrin Abdullah.

Sementara itu, lakaran sejarah juga tercipta di Silverstone mahupun MotoGP apabila buat kali pertamanya perlumbaan terpaksa dibatalkan untuk kesemua kelas dipertandingkan susulan keadaan trek yang tidak mampu menyerap air bertakung dengan pantas selepas hujan berlarutan di litar ini.

Situasi ini mengheret saingan MotoGP yang dijadual bermula lebih awal iaitu 11.30 pagi semalam ditunda kira-kira selama enam jam sebelum pihak penganjur Dorna, Persatuan Pasukan Perlumbaan Antarabangsa (IRTA) dan pelumba memutuskan kata sepakat, membatalkan kesemua perlumbaan.

Kali pertama pembatalan perlumbaan berlaku adalah di GP Austria pada tahun 1980 namun ketika itu berpunca daripada salji.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 10:03 PM