PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Mahkamah Timbang Tara (CAS) memaklumkan bahawa mereka kini sedang menyiasat kes Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim yang dilaporkan melindungi kes doping membabitkan atlet negara enam tahun lalu.

Pegawai Komunikasi CAS, Katy Hogg memaklumkan, prosedur timbang tara rayuan sedang dijalankan dan perkara itu akan dikaji dengan membuka semula kertas siasatan.

Katanya, arahan sudah dikeluarkan untuk langkah seterusnya berhubung kes berkenaan agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“CAS kini sudah menghantar kiriman bertulis dengan pihak yang terbabit selain melantik panel tunggal menyiasat perkara itu.

“Panel yang bertanggungjawab akan mengeluarkan arahan untuk langkah seterusnya. Antaranya prosedur apa yang perlu diambil merangkumi bagaimana, bila dan di mana perbicaraan akan dilakukan,” katanya yang turut tidak menafikan bahawa pihaknya berkemungkinan akan datang ke Malaysia untuk menjalankan sesi perbicaraan.

Bagaimanapun Katy ketika dihubungi menerusi kiriman email turut memaklumkan, beliau tidak dapat memaklumkan bila kes berkenaan akan diselesaikan atau tempoh kes itu akan tamat.

“Kebanyakan kes yang diterima sebelum tiba di CAS adalah berbeza. Saya tidak boleh memberi anggaran bilakah ia akan selesai.

“Sesi perbicaraan perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya.

Jika disabit kesalahan, hukuman atau berapa tempoh hukuman yang akan dijatuhkan kepada Karim bukan di bawah tanggungjawab CAS.

CAS hanya menjalankan penyiasatan dan selepas maklumat diterima ia akan diserahkan kepada pihak berwajib yang mana kes ini membabitkan Persatuan Olahraga Dunia (IAAF).

Karim sebelum ini dipalit kontroversi apabila IAAF melucutkan jawatan beliau dalam badan induk itu kerana panel penilai IAAF mendapati bahawa beliau 'tidak layak' memegang jawatan dalam badan induk berkenaan.

Karim dalam satu dokumentari yang disiarkan media Jerman ARD dituduh melindungi amalan penyalahgunaan dadah di negara ini. Dokumentari itu disiarkan pada Mac 2016.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 6:31 PM