PEMAIN Kedah (kanan) diasak pemain MIFA (tengah) ketika perlawanan Piala Malaysia 2018 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my


KEHADIRAN semula empat tonggak utama Kedah dijangka mampu ‘menyelamatkan’ skuad Helang Merah tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia musim ini. 

Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Akhyar Rashid dan Ifwat Akmal Che Kassim tidak bersama pasukan Helang Merah sepanjang Piala Malaysia selepas menyertai skuad Sukan Asia sejak 30 Julai lalu. 

Ketiadaan mereka memberi impak besar kepada Kedah yang dilihat bergelut dalam persaingan Kumpulan C yang turut mengundang tindakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) merehatkan ketua jurulatihnya, Nidzam Adzha Yusoff pada 18 Ogos lalu.

Penolong ketua jurulatih Kedah, Azzmi Aziz yang kini menggantikan tempat Nidzam bagaimanapun menjelaskan beliau masih belum pasti mengenai keadaan empat tonggak itu selepas kembali daripada tugasan Sukan Asia, kelmarin.

“Kita tak dapat apa-apa maklum balas lagi daripada mereka. Ia bergantung kepada keperluan dan jika boleh beraksi, sudah pasti mereka akan memperkuatkan lagi pasukan,” katanya selepas perlawanan berdepan MIFA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Kedah melepaskan peluang keemasan untuk mendapatkan tiga mata berharga selepas sekadar seri 2-2 ketika MIFA terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua.

Malah, persembahan Paulo Rangel yang diturunkan dalam kesebelasan utama juga tampak mengecewakan selepas gagal memberi sumbangan besar buat Helang Merah sepanjang permainan.

Azzmi bagaimanapun mempertahankan Rangel dengan menyifatkan pemain kelahiran Brazil itu sudah melakukan yang terbaik.

“Dia sudah bagi yang termampu. Dia sudah lama tidak bermain selepas baru pulih daripada kecederaan dan minggu lalu pun dia belum berlatih sepenuhnya dengan pasukan,” katanya.    

Keputusan perlawanan semalam menyaksikan MIFA kini memimpin kumpulan dengan tujuh mata diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul enam mata di tangga kedua.

Kedah pula mengumpul lima mata, sementara Kelantan menghuni kedudukan tercorot dengan empat mata selepas empat perlawanan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 6:08 PM