PEMAIN boling negara, Rafiq Ismail. FOTO EPA
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my

 

PEMAIN boling negara, Rafiq Ismail mahu menggengam status pemain nombor satu Asia dengan cuba memenangi acara Masters lelaki di temasya Sukan Asia Indonesia.

 Selepas berakhir blok pertama di Pusat Boling JSC di Palembang hari ini, atlet berusia 20 tahun itu menduduki tempat kelima daripada 16 peserta apabila melakukan keseluruhan 1,889 jatuhan pin.

 Sementara itu seorang lagi wakil negara, Syafiq Ridhwan Abdul Malik mengakhiri blok pertama dengan menduduki tempat ke-13 selepas melakukan 1,776 jatuhan pin.

 Hanya tiga pemain utama daripada blok kedua esok akan layak beraksi di final stepladder.

 "Permainan saya menjejaskan aksi saya hari ini. Saya agak bergelut ketika itu," kata Rafiq yang menduduki ranking kedua Asia.

 "Bagaimanapun dengan sistem pemarkahan yang baru, saya dapat meraih lebih banyak mata. Sudah tentu saya mahu berikan aksi paling terbaik esok," tambah Rafiq yang sudah memenangi pingat perak bersama-sama Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan menerusi acara trio lelaki.

 Sementara itu dalam acara Masters wanita, Natasha Roslan dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi masing-masing menamatkan blok pertama dengan menduduki tempat ke-12 serta 13 selepas melakukan 1,811 dan 1,797 jatuhan pin.

 Untuk rekod, setakat ini Malaysia sudah memenangi pingat emas menerusi acara trio wanita serta dua perak menerusi trio lelaki dan berpasukan wanita.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 9:29 PM