KEPDA yakin Kedah mampu pamer aksi konsisten. FOTO/FAIL
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


KELAB Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) yakin Kedah mampu terus konsisten untuk mencipta kemenangan ke atas MIFA dalam dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Presiden KEPDA, Nor Asmadi Hamzah berkata, selepas meraih kemenangan 3-2 di Darul Aman, Sabtu lalu, Kedah kini dilihat kembali memiliki rentak permainan dan percaya Lang Merah mampu mendapatkan tiga mata bagi mencerahkan peluang mewakili Kumpulan C ke suku akhir.

“Semangat yang ditampilkan pemain Kedah agak berlainan jika dibandingkan dengan persembahan dalam dua perlawanan ketika bertemu Kelantan dan JDT. Ini memperlihatkan kita mempunyai kesungguhan untuk bangkit selepas gagal mencipta kemenangan ketika aksi bertemu Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini.

“Kemenangan pertama menewaskan MIFA Sabtu lalu juga menjadi 'turning point' dan kami yakin Kedah kini kembali memberi saingan yang kini dilihat masih terbuka.

“Kami tetap berbangga walaupun Kedah turun tanpa beberapa pemain utama minggu lalu dengan menyaksikan Khairul Helmi, Andik Vermasyah, Paulo Rangel dan Akram Mahinan tidak dapat beraksi namun pasukan masih mampu bangkit melakar kemenangan,” katanya.

Hasmadi juga yakin ramuan yang akan disediakan Azzmi Ab Aziz selaku pengendali Kedah yang baharu bersama pembantunya, Mohamad Ramlee mampu meniup angin perubahan seperti yang diharapkan.

“Pada perlawanan seterusnya malam ini, MIFA pasti tidak akan memberi laluan mudah dan berusaha mencipta kemenangan di tempat sendiri dan buat pemain pemain Kedah, kami mendoakan kejayaan seterusnya dan tidak kira siapa yang berada pada kesebelasan utama. Apa yang penting adalah perancangan terbaik jurulatih serta beraksi sebagai satu pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 1:12 PM