Jumiati Rosly
jumiati@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bahawa ahli mereka yang terdiri daripada bekas atlet akan terus diberi bantuan perubatan meskipun dana yayasan itu berada di tahap kritikal buat masa ini.

Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata jaminan bantuan itu diberikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim ketika pertemuan bersama yayasan itu semalam.

“Beliau (Steven) akan mengawasi sendiri dan akan memeriksa semula dana perubatan ini. Jika diikutkan memang sangat kritikal dana yang kita ada tetapi kita masih boleh bernafas lagi.

“Jika tiada siapa membantu, dana kita akan menjadi sangat, sangat kritikal. Sekarang ini Timbalan Menteri sendiri memberitahu akan bantu kerana beliau berkata jasa bekas atlet ini tidak boleh diketepikan,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke rumah bekas pelumba berbasikal negara, Ishak Alwi di sini hari ini.

Dua minggu lalu, Noorul Ariffin berkata YAKEB mungkin terpaksa memberhentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet negara berikutan kehabisan dana.

Dalam pertemuan bersama Timbalan Menteri itu, Noorul Ariffin berkata Steven turut memberi cadangan mengenai pembiayaan biasiswa serta menawarkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada atlet sedia ada dan bekas atlet.


ISHAK (kiri) diberi penerangan mengenai pelbagai jenis kaki palsu oleh pakar kaki palsu atau certified prosthetist & orthotist (CPO) dari PPUM, Reon Saros (kiri) sambil disaksikan Noorul Ariffin. -Foto OWEE AH CHUN

Bekas Pengerusi YAKEB, Datuk Malek Noor pula berkata beliau meminta semua ahli YAKEB untuk bersabar kerana beliau memahami pengurusan YAKEB sudah bekerja keras mencari dana bagi atlet.

“Dana itu tetap ada. Janganlah cakap (pengurusan) ada propaganda ke apa...Jangan cakap pengurusan tak buat kerja. Itu merepek,” katanya.

Terdahulu, YAKEB bersama pakar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) membuat ukuran kaki palsu bagi Ishak yang terkenal dengan acara pecut dan satu kilometer ujian masa ketika era 80-an.

YAKEB yang sebelum ini membiayai perubatan Ishak akan membiayai kaki palsu buat Ishak yang dianggar berjumlah RM8,500 bagi menggantikan kaki kanannya yang terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman dan kencing manis sejak 15 tahun lalu.

“Saya berterima kasih dengan keprihatinan YAKEB kerana saya kalau boleh mahu menjalani kehidupan seperti biasa seperti ini (dengan adanya kaki palsu),” kata Ishak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 9:21 PM