LEE ZII JIA
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain
sukanteam@nstp.com.my


JAKARTA: Hanya Lee Zii Jia berjaya melepasi pusingan kedua acara badminton ketika beregu campuran dan wanita terkandas di Istora Senayan, sebentar tadi apabila mudah menewaskan wakil Pakistan, Sarwar Arum 21-13, 24-10.

Turut kecundang, Liew Daren yang tewas kepada perseorangan Korea Selatan, Heo Kwanghee 21-18, 20-22, 21-14

Selepas kekalahan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kepada pasangan Hong Kong, Reginald Lee-Chau Hoi Wah petang tadi, pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai juga ditunjukkan jalan keluar.

Mereka tewas 21-14, 11-21, 20-22 di tangan pasangan Hong Kong, Tan Chun Man-Tse Ying Suet.

Beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean tewas 21-17, 16-21, 21-19 kepada pasangan India, Ponnappa Ashwini-Reddy N Sikk.

“Tiada tuah untuk kami, mata penamat pun kita tak dapat,” kata Peng Soon selepas perlawanan.

Pemenang perak Olimpik Rio itu mengakui mereka terlalu banyak membuat kesilapan mudah hingga memberikan kemenangan kepada lawan.

Liu Ying turut mengakui kesilapan mudah memberikan kelebihan buat lawan dari Hong Kong itu.

“Kami memang kecewa, kami tahu selepas kalah set pertama kami boleh menewaskan mereka terutama pada set ketiga tetapi dikecewakan oleh kesilapan mudah itu,” katanya.

Esok akan bermula saingan bagi acara beregu lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 8:41 PM