NICOL (kiri) ketika menentang Satomi untuk layak ke suku akhir. -Foto AFP
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain
sukanteam@nstp.com.my

JAKARTA: Seperti dijangka Ratu Skuasy negara, Datuk Nicol David tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan suku akhir apabila mengatasi cabaran pemain Jepun hari ini.

Nicol menang 3-0 berdepan Satomi Watanabe bagi melangkah ke separuh akhir dan akan berdepan Dipika Karthik, dari India esok.

Bagi juara bertahan itu, perlawanan berkenaan dianggap mudah apatah lagi apabila dia juga melepasi halangan awal semalam selepas mendapat bye.

“Lawan tidak begitu memberi tentangan sengit tetapi saya mahu lihat pemain-pemain muda yang dikatakan sedang meningkat ketika ini,” katanya.

Pada perlawanan itu jelas Nicol, dia bermula akan perlahan untuk menyesuaikan diri dengan permukaan gelanggang yang agak beralun.

Seorang lagi wakil wanita, S Sivasangari pula memerlukan lima set sebelum menewaskan wakil Hong Kong Au Wing Chi 3-2.

Suku akhir lelaki bagaimanapun menyaksikan Ivan Yuen gagal melepasi halangan wakil Hong Kong, Au Chung Ming apabila tewas 0-3.

Pemain nombor satu negara, Mohd Nafiizwan Adnan pula berhempas pulas sebelum mengatasi wakil Qatar, Abdullah Al-Tamimi, 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 8:40 PM