AMALINA (tengah) selamat melahirkan bayi perempuan. FOTO/FAIL
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain di Jakarta
sukanteam@nstp.com.my


KELAHIRAN cahaya mata sulung, Aaira Nur Safiya menyuntik semangat penyerang Syafiq Ahmad menjelang pertemuan dengan Jepun, esok.

Isteri Syafiq, Nur Amalina Norain selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.39 kilogram semalam dan kini dia memburu hadiah kemenangan untuk mereka.

"Isteri saya selamat melahirkan anak sulung kami, saya sangat bersemangat untuk cuba meraih kemenangan untuk mereka.

"Saya jangkakan perlawanan menentang Jepun tidak akan banyak berbeza dengan Korea Selatan.

"Cuma ketika mereka menentang Vietnam tempoh hari, ada ruang yang boleh kita manfaatkan ketika mereka melakukan serangan. Kita boleh mengeksploitasikan situasi berkenaan dengan serangan balas pantas," jelasnya.

Malah, Syafiq sudah bersedia menghadapi pertahanan Jepun yang dijangka memberikan tumpuan lebih kepadanya, Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid di jentera serangan.

"Setiap perlawanan, penyerang akan dikawal rapi. Penyerang akan menjadi kunci kepada mana-mana pasukan, jadi sebagai penyerang kami perlu beraksi dengan lebih baik berbanding aksi Korea Selatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 5:41 PM