ZAITON OTHMAN.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@nstp.com.my


PESURUHJAYA Sukan, Datuk Zaiton Othman tidak boleh mengambil tindakan terhadap Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berhubung kes perlucutan jawatan beliau dalam Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Zaiton dimaklumkan Karim kini sedang membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan sehingga keputusan itu diumumkan tiada sebarang tindakan boleh dilakukan. 

Jelasnya, kes seperti Karim itu tidak pernah terjadi dalam mana-mana persatuan sebelum ini, justeru beliau perlu menyemak dengan penasihat undang-undang terlebih dahulu. 

“Sehingga keputusan dibuat, tiada tindakan boleh diambil terhadap Karim. 

“Kita tunggu dulu keputusan CAS kerana kes ini membabitkan isu intergriti dan kesalahan doping, sesuatu yang amat serius,” katanya. 

IAAF sebelum ini mengumumkan Karim dilucutkan daripada memegang jawatan dalam badan induk itu.

Keputusan panel penilai IAAF mendapati Karim 'tidak layak' memegang jawatan dalam badan induk itu kerana dituduh melindungi amalan penyalahgunaan dadah di negara ini.

Satu siasatan bebas membuktikan Karim terbabit dalam beberapa kes doping membabitkan enam atlet yang melarikan diri daripada ujian doping, manakala atlet negara yang positif di Sukan SEA 2011, Palembang Indonesia, tidak pernah diambil tindakan oleh KOM.

Karim dilantik ahli majlis IAAF oleh Persatuan Olahraga Asia pada Oktober 2015.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 4:00 PM