Sathianathan pertahan tindakan Kim Swee. FOTO HM Digital
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: “Kalau saya berada di tempat Datuk Ong Kim Swee, saya juga akan melakukan perkara sama,” kata bekas pengendali skuad kebangsaan, B Sathianathan.

Itu reaksi jurulatih FELDA United itu diminta mengulas mengenai percaturan Kim Swee menurunkan barisan kedua pada aksi terakhir Kumpulan E bertemu Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang, malam tadi.

Rombakan besar-besaran dengan hanya tiga pemain dikekalkan menyaksikan Malaysia gagal merakam kemenangan hatrik pada aksi peringkat kumpulan apabila terpaksa akur tumbang di tangan Bahrain 2-3.

Sathianathan nyata mempertahankan tindakan Kim Swee itu sambil menyifatkan ia satu langkah yang wajar bagi memastikan pemain utama dapat memberikan yang terbaik pada aksi pusingan 16 terbaik bertemu Jepun, Jumaat ini.

“Tiada gunanya kita menyasarkan kemenangan bersih di peringkat kumpulan tetapi pemain utama kita terjejas untuk aksi peringkat 16 terbaik kerana tidak mendapat rehat secukupnya ataupun mengalami kecederaan.

“Saya lihat Kim Swee mengambil pendekatan yang bijak dengan menyenaraikan barisan kedua kerana dia mahu mencari pemain gantian yang memiliki kaliber yang sama dengan pemain utama jika terjadinya perkara yang tidak diingini.

“Malah, dengan barisan kejurulatihan Jepun dikatakan turut menyaksikan perlawanan itu, sudah tentu kekuatan penuh Malaysia dapat ‘disembunyikan’ sebelum aksi sebenar nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Kim Swee yang sedar keputusan menentang Bahrain tidak akan mengubah kedudukan Malaysia sebagai juara Kumpulan E bertindak mengekalkan tiga pemain - Baddrol Bakhtiar, Adam Nor Azlin dan Muhammad Syahmi Safari - dalam  kesebelasan utama yang menumbangkan Korea Selatan sebelum ini.

Pada perlawanan berkenaan, Malaysia terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Syahmi Safari m-20 tetapi Bahrain menyamakan kedudukan pada m-33 menerusi Mohamed Hardan (m-33) sebelum mendahului permainan empat minit kemudian berpunca jaringan Hamad Alshamsan.

Sekalipun Malaysia cuba mencipta kebangkitan, Hardan menjadikan kedudukan 3-1 buat Bahrain sebelum Safawi Rasid merapatkan jurang pada m-90 tetapi sudah terlambat.

Malaysia dijadual menentang Jepun pada pusingan kedua Jumaat ini dan sekiranya mereka melepasi halangan itu, mereka akan bertemu sama ada China atau Arab Saudi di peringkat suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 5:09 PM