PEMAIN Sabah, Rahman Shah Marajeh meraikan gol kemenangan ketika menentang Pasukan Selangor dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Likas. FOTO Khairull Azry Bidin
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my


KETUA jurulatih Sabah, Jelius Ating kagum melihat semangat juang tinggi anak buahnya ketika mengatasi Selangor 2-1 pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Likas, malam tadi.

Jelius berkata, perlawanan itu begitu sengit dengan pasukan pelawat banyak memberi tekanan, apatah lagi apabila mereka terlebih dulu dibolosi.

"Bagaimanapun, pemain sekali lagi membuktikannya. Mereka tidak putus asa selagi wisel penamat belum dibunyikan dan akhirnya kami berjaya menang.

"Kemenangan terhadap Selangor juga sangat manis buat saya kerana kita tahu pasukan ini sangat sinonim dengan Piala Malaysia. Mereka (Selangor) bermain baik malam ini tapi kita berjaya mengatasi tekanan yang mereka berikan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Pada aksi malam tadi, Selangor lebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Sean Eugene Selvaraj pada minit ke-79.

Bagaimanapun, dua pemain gantian – Rahman Shah Marajeh dan Ricco Nigel Milus – memastikan kemenangan Sabah apabila masing-masing meledak gol pada minit ke-82 dan masa kecederaan perlawanan.

Jelius berkata walaupun mereka mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia setakat ini, masih ada ruang yang perlu diperbaiki.

"Memang secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pasukan pada tiga perlawanan lalu termasuk ketika seri dengan Pahang di Kuantan, namun kita harus memperkuatkan bahagian tengah.

"Kita terlalu banyak memberi ruang kepada Selangor di bahagian tengah sehingga membolehkan mereka menguasai bola. Kita harus tingkatkan kualiti di bahagian itu," katanya.

Berikutan kemenangan itu, Sabah kekal di tangga kedua namun berkongsi tujuh mata dengan Pahang yang mendahului kumpulan D dengan kelebihan gol.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 1:42 PM