CRISTIANO Santos dihalang pemain pasukan JDT Hariss Harun (kanan) dalam saingan unifi Piala Malaysia 2018 kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV). -Foto SYAMSI SUHAIMI
Hasbullah Ibrahim
sukanteam@nstp.com.my


KOTA BHARU: Kelantan kembali menemui rentak kemenangan selepas menang tipis 1-0 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke IV sebentar tadi.

JDT terlebih dahulu memulakan asakan dan Ahmad Hazwan Bakri hampir membuka jaringan pada minit ke-17 namun sepakan dalam kotak penalti ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.

Kelantan membuat beberapa percubaan berbahaya dari luar kawasan penalti pada minit ke-31 menerusi Mohd Khairul Rizam Che Soh dan Mohammad Imran Samso (m-32) namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Marlias.

JDT hampir mendahului tuan rumah pada minit ke-44 menerusi Fernando Marquez yang menanduk kencang bola dari luar kotak penalti namun ditepis keluar Faridzuean.

Gol tunggal Kelantan hadir pada minit ke-45 menerusi import Brazil,Cristiano Santos yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Azrif Nasrulhaq bertindak mengasari Mohd Danial Ashraf Abdullah dalam kawasan penalti.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama permainan.

Bersambung babak kedua, Cristiano Santos hampir meledak gol kedua peribadi pada minit ke-63 namun berjaya diselamatkan Farizal.

JDT bertungkus lumus merapatkan jurang gol menerusi percubaan Ahmad Hazwan Bakri dan pemain gantian, Darren Lok pada minit ke-67 dan minit ke-89 namun sedikit tersasar.

Pada minit akhir masa tambahan permainan Kelantan terpaksa bermain dengan sembilan pemain selepas pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada pemain gantian, Mohd Hakimi Abdullah dan Santos.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 11:23 PM