EMERY mahu anak buah segera capai kemenangan. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Unai Emery tidak dapat menjelaskan permulaan awal yang sukar musim ini apabila pengurus Arsenal itu tidak senang duduk selepas kekalahan kepada Manchester City pada aksi pertama Liga Perdana Inggeris.

Malah, skuad Gunners juga bakal berdepan satu lagi cabaran getir apabila akan berkunjung ke Chelsea pada awal pagi Ahad.

Emery berdepan tugas untuk mengubah Arsenal kembali menjadi pencabar hebat bagi merebut kelompok empat teratas, selepas skuad itu terlepas tempat ke Liga Juara-Juara sejak dua musim lalu.

Kemerosotan dalam beberapa musim sebelum ini menyaksikan berakhirnya era ‘pemerintahan’ Arsene Wenger selama 22 tahun dan ia tidak boleh berubah dengan pantas terutama dengan perbelanjaan Arsenal sepanjang musim panas lalu juga tidak mendahului pencabar Liga Perdana yang lain.

Keputusan Emery untuk tidak menggunakan bintang baru bernilai £20 juta (RM104 juta), Bernd Leno dalam skuad utama dan lebih mengejutkan apabila Petr Cech kekal di posisinya.

Taktik Emery itu dilabelkan sebagai ‘bodoh’ oleh bekas pengurus England, Sam Allardyce.

Bagaimanapun, Emery masih yakin terhadap kemampuan Cech apabila kembali ke Stamford Bridge, iaitu gelanggang yang dinikmatinya sepanjang 11 tahun sebagai pemain Chelsea.

“Anda tidak boleh mengubah mentaliti jika anda tewas perlawanan pertama. Saya mahu konsisten,” kata Emery.

“Berdepan Manchester City, pasukan mengekalkan idea dan semangat sepanjang 90 minit perlawanan, walaupun kami tewas dan tidak membiarkan moral terus merudum.

“Ia satu perkara yang baik, walaupun kami tewas 0-2. Saya mahu kami teruskan kerja itu dan memberi saingan dalam 90 minit, tapi dengan persembahan lebih baik berbanding Sabtu lalu.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 8:36 AM