EG 0,0 Marc VDS' Italian rider Franco Morbidelli competes during the first practice session of the Austrian MotoGP Grand Prix at the Red Bull Ring in Spielberg, Austria on August 10, 2018. (Photo by Jure Makovec / AFP)
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my

 

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Yamaha Factory, Lin Jarvis memberi bayangan barisan pelumba yang bakal mewakili pasukan sulung negara dalam kelas perdana MotoGP tahun depan ialah Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo.

Jarvis seperti dilaporkan laman web rasmi MotoGP ketika ditanya mengenai peranan Yamaha dalam pemilihan pasukan satelit itu berkata, pilihan tidak terletak di tangan mereka tetapi mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat.

“Saya tidak kata yang kami tidak mempunyai hak untuk memberi pendapat tetapi keputusan mengenai pelumba adalah daripada pasukan satelit itu sendiri,” kata Jarvis. 

“Mereka adalah pasukan bebas. Sudah tentu, setiap pelumba yang dipilih mereka perlu mendapat persetujuan kami dan mempunyai kemampuan menunggang M1. Jadi mereka memilih Franco Morbidelli, pelumba yang sangat menarik kerana dia adalah juara dunia, dia juga pelumba akademi dan mempunyai bakat.

“Saya fikir, dia akan melakukan lebih baik apabila menunggang M1 berbanding apa yang dilakukannya tahun ini (bersama Honda), jadi di dalam kes Franco, tiada keraguan mengenainya.”

Mengenai pelumba kedua pasukan itu yang dijadual akan diumumkan secara rasmi pada Grand Prix (GP) British minggu depan, Jarvis berkata: “Dalam kes Quartararo, dia akan menjadi muka baharu (rookie) tetapi dia muda - baru 19 tahun - dia juga mempunyai bakat.

“Dia seakan hilang arah mungkin setahun atau dua kebelakangan ini tetapi dia kembali mempamerkan keyakinan tahun ini. Namun, saya fikir dia mampu menjadi salah seorang pelumba yang baik pada masa depan.

“Saya fikir (Hafizh) Syahrin sudah menunjukkan yang kadangkala kamu boleh melakukan pilihan dan sekiranya pelumba itu mempunyai bakat dan muncul tanpa sebarang jangkaan, dia mampu melakukannya. Jadi kami agak selesa dengan pilihan itu.”

Morbidelli membuat penampilan pertamanya dalam kelas MotoGP musim ini selepas muncul juara dunia dalam kelas Moto2 tahun lalu dan selepas 11 pusingan, pelumba dari Itali itu sedang bersaing sengit dengan Hafizh bagi merebut gelaran muka baharu terbaik 2018.

Pelumba (+)Ego - Speed Up Racing dari Perancis, Quartararo dalam pada itu sedang bersaing dalam kelas Moto2 dan kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan 84 mata.

Pasukan pertama Malaysia dalam kelas perdana perlumbaan dua roda paling berprestij di dunia itu difahamkan bakal diuruskan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan mendapat tajaan syarikat petroleum negara, PETRONAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 6:39 PM