EMERY positif walaupun Arsenal tewas kepada City. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Ketua jurulatih Arsenal, Unai Emery berkata, kekalahan 2-0 di tangan Manchester City semalam menunjukkan pemainnya memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan taktiknya tetapi mengakui terdapat beberapa aspek positif di sebalik kekalahan itu.

Arsenal gagal menandingi lawan dalam aksi pertama Liga Perdana di Emirates itu sekali gus menunjukkan jurang di antara kedua-dua pasukan dan membuktikan keazaman City untuk mempertahankan kejuaraan liga.

Bagaimanapun, Emery berkata, pemainnya beraksi baik dan mempunyai peluang menyamakan kedudukan pada babak kedua perlawanan.

"Saya fikir City berhak dengan keputusan ini tetapi kami semakin baik sepanjang 90 minit dan kesannya dapat dilihat pada perlawanan selepas ini minggu depan.”

“Pada separuh masa kedua kami memiliki peluang untuk mencapai keputusan lebih baik,” kata Emery ketika sidang akhbar.

"Jelas Manchester City mahukan persembahan terbaik kami dan mulai hari ini kami perlu terus bekerja keras. Saya gembira dengan pemain saya kerana mereka tidak mengalah. Kami perlu terus menumpukan aspek taktikal dan pertahanan yang membezakan kami dengan City.”

Raheem Sterling menjaringkan gol pembukaan pada separuh masa pertama selepas memperdayakan Hector Bellerin dan Matteo Guendouzi sebelum melencongkan bola melepasi penjaga gol, Petr Cech dan Bernardo Silva melebarkan jurang di babak kedua.

Penyerang Arsenal pula agak tumpul dengan Mesut Ozil dan Henrikh Mkhitaryan kurang menyerlah dalam formasi 4-3-3 itu.

Bagaimanapun, Emery yang mengambil alih tugas dari Arsene Wenger pada musim panas ini tetap yakin mereka menuju ke arah yang betul.

Sesuatu yang membimbangkan Emery ialah di bahagian pertahanan kiri apabila Ainsley Maitland-Niles mengalami kecederaan kaki di separuh masa pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:20 AM