SIMONA (kiri) bangga memeluk Piala Rogers kategori wanita. FOTO/REUTERS
Reuters

MONTREAL: Pemain nombor satu dunia Simona Halep menewaskan pemain Amerika Syarikat Sloane Stephens 7-6(6), 3-6, 6-4  untuk menjuarai Piala Rogers kategori wanita, mengulangi keputusan final Terbuka Perancis di Montreal, awal pagi tadi.

Simona pemain Romania itu yang menewaskan Sloane di Paris, Jun lalu menjulang gelaran Montreal keduanya dalam tempoh tiga tahun dan yang ketiga sepanjang 2018.

Dia menutup pertarungan sengit itu dengan ace ketiganya pada hari itu.

“Sungguh menakjubkan dapat bercakap di sini lagi sebagai seorang juara,” kata Simona.

“Saya rasakan bagaikan mencapai tahap terbaik dalam sukan tenis, biarpun menempuhi rehat panjang sebelum kejohanan ini dan rasa tidak bermaya selepas hari pertama.”

Pada masa sama Simona turut memuji lawannya itu.

“Anda membuatkan saya bermain semakin baik, setiap kali kita bertemu,” kata Simona.

Pemain AS itu turut membalas pujian terbabit.

“Biarpun saya tewas hari ini. Saya sudah memberikan sebaik mungkin di atas gelanggang,” kata Sloane.

“Sudah tentu saya kecewa kerana tewas tetapi kecundang kepada pemain nombor satu tidaklah teruk sangat.

“Setiap kali saya menentangnya, dia membuatkan saya menjadi pemain yang lebih baik, meningkatkan lagi tahap permainan saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 10:32 AM