MATEO KOVACIC
Reuters

LONDON: Pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic dipinjamkan Real Madrid kepada Chelsea sepanjang musim ini, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Ketibaan Kovacic adalah sebahagian daripada perjanjian yang menyaksikan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois menyertai Real semalam untuk kontrak selama enam tahun.

Real akan membayar jumlah permulaan 35 juta euro (RM165.2 juta) untuk penjaga gol Belgium itu, lapor media Sepanyol.

Kovacic, 24, berada dalam skuad Piala Dunia Croatia yang mara ke final di Russia bulan lalu tetapi hanya diletakkan sebagai pemain simpanan di Real musim lalu.

“Saya amat gembira dapat menyertai Chelsea. Ia perasaan yang menakjubkan,” kata Kovacic. “Saya akan memberikan yang terbaik untuk kelab ini.

“Ia adalah liga baru buat saya, permulaannya sentiasa sukar tetapi saya pasti jurulatih dan rakan sepasukan akan membantu dan saya mengharapkan musim yang bagus.”

Kovacic pernah bersama skuad remaja Dinamo Zagreb dan menjaringkan gol pada penampilan pertamanya dengan pasukan senior pada usia 16 tahun.

Dia menarik perhatian beberapa kelab gergasi Eropah dan menyertai Inter Milan pada 2013. Selepas tampil 100 kali bersama kelab San Siro itu, dia menyertai Real dua tahun berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 6:55 PM